Monday, August 15, 2016

Tips Penjagaan Kucing

Assalamualaikum

Hari ni rasa nak kongsi sikit tips penjagaan kucing. Pengalaman tidaklah seberapa banyak tapi tetap jugak nak kongsi untuk insan yang baru berkecimpung dalam dunia kucing. Kesedaran mengenai haiwan peliharaan yang comel ni semakin meningkat. Ada yang memang minat kucing secara semulajadi, ada juga yang minat kucing kerana mengikut trend terkini. Terpulang kepada individu itu sendiri.

Diri ini sendiri bukan jenis yang minat kucing sejak kecil kerana tidak dibiasakan dengan kucing akibat dari ahli keluarga yang mempunyai masalah kesihatan. Diri ini juga mempunyai masalah kulit, seboleh mungkin dielakkan dari kucing sewaktu kecil. Suami pula memang sudah terbiasa dengan kucing sejak kecil lagi. Ada kucing yang manja sehingga boleh dipeluk untuk tidur bersama dengannya. Disebabkan minat suami inilah yang mendorong diri ini untuk membiasakan diri dengan kucing. Cuma ada masa terpaksa menjauhkan diri kerana masalah kulit yang sensitif.

Dari seekor kucing yang dibela, seekor diberi oleh orang lain, kini telah ada 11 ekor kucing hasil pembiakan. Setiap bulan tidak lepas dari membeli keperluan mereka. Alhamdulillah, setakat ini sentiasa ada rezeki untuk si comel yang tersayang. InsyaAllah akan sentiasa ada rezeki untuk mereka. Apa yang penting keikhlasan menjaga bukan hanya sekadar memikirkan keuntungan semata.

Apa yang diperlukan untuk penjagaan si comel?
     1)   Makanan yang berkualiti tinggi
Makanan yang berwarna sebaik seperti produk Whis, Fris & SmaHea sebaiknya dielakkan. Makanan berwarna boleh mengakibatkan masalah kesihatan pada kucing. Harga makanan yang berkualiti ni setanding dengan kualiti makanan. Memang bukan murah seperti makanan berwarna tetapi amat baik untuk kesihatan kucing. Kalau benar sayangkan haiwan kesayangan Rasullullah s.a.w, kenapa perlu berkira? InsyaAllah, kucing ini akan mendoakan tuannya murah rezeki.

     2)   Tempat tinggal yang selesa
Berikan tempat tinggal yang selesa buat si comel. Sekiranya dikurung dalam sangkar, pastikan segala keperluan untuk proses perkembangannya dipenuhi. Jangan dikurung dalam ruangan yang sempit. Si comel juga berhak mendapatkan tempat tinggal yang selesa sepertimana kita juga mahukan tempat tinggal yang selesa. Pernah juga saya melihat kucing dewasa lebih kurang 6 ke 7 ekor diletakkan dalam bilik air. Ruangnya sangat kecil sehinggakan si comel tersebut terpaksa berhimpit. Tiada ruang untuk mereka bermain. Saya memilih untuk tidak mengurung kucing di dalam sangkar kecuali atas sebab-sebab yang tertentu dan terpaksa melakukannya. Semua dibiarkan bebas bermain di dalam rumah agar si comel selesa.

     3)   Vaksin
Jangan terkejut. Si comel juga memerlukan vaksin untuk mencegah penyakit berjangkit. Saya bukan anti vaksin. Kucing digalakkan untuk mengambil vaksin bagi mencegah dari penyakit yang berjangkit. Kucing hendaklah bebas dari sebarang penyakit pada hari vaksinasi. Ada sesetengah kucing akan menjadi terlajak hyper setelah divaksin, dan ada juga kucing yg akan menjadi lesu dan lemah seketika. Sekiranya kucing tidak sihat dalam tempoh 2 minggu selepas divaksin, sila bawa si bulus ke klinik semula untuk mendapatkan rawatan lanjut.

     4)   Ubat kutu & cacing
Ubat kutu dan cacing juga penting untuk si comel supaya menjadi sihat dan lincah. Sekiranya kutu memenuhi badan si comel, ia akan melemahkan badan kucing kita. Badan kucing juga akan menjadi kurus kerana kutu dan cacing mengambil segala khasiat makanan yang dimakan oleh kucing. Berdasarkan pengalaman sendiri merawat anak kucing yang dipenuhi cacing dalam badan dan kutu, kucing tersebut menjadi sangat kurus sehingga menampakkan tulang sahaja. Amat berbeza dengan anak kucing yang lain. Selepas dua minggu diberikan ubat kutu dan cacing, barulah badan anak kucing itu menjadi sihat seperti adik beradik yang lain.


Harus diakui membela kucing memerlukan modal yang amat tinggi. Semuanya bergantung kepada kemampuan kita dan janganlah sampai membebankan diri sendiri mahupun orang lain hanya kerana ketidakmampuan berbelanja untuk kucing. Jangan hanya kerana mengejar pahala tetapi akhirnya mendapat dosa. 

No comments: