Tuesday, March 8, 2016

Kepada Orang Atasan - Daripada Orang Bawahan

Maafkan saya Puan. Saya memang akan balik bila habis waktu kerja. Saya kena buat kerja rumah bila sampai rumah nanti. Pembantu rumah pun saya tak mampu nak gajikan. Saya lah yang menjadi pembantu rumah bila di rumah. Puan lain, rezeki Puan ada orang gaji boleh siapkan semua kerja rumah.

Zaman sekarang ni semuanya perlukan duit. Kalau upah orang gaji tu tak memerlukan duit keluar sesen pun, memang dah lama saya upah orang gaji kat rumah saya tu. Saya pun tak duduk sendirian bila En Suami saya kena tugas luar.

Puan, saya bukan kisah sangat pun Gred saya naik. Saya pun memang TAKNAK naik. Biar kekal je jadi kerani. Apa yang penting bagi saya adalah gaji naik. Kalau ikutkan hati saya ni, saya nak berhenti kerja. Perasaan ihsan pada kawan-kawan lain membuatkan saya masih kekal disini. Sekiranya saya mengikut kata doctor, memang saya akan berehat demi kesihatan saya. Saya masih kekal disini dan mengabaikan kesihatan saya, mengambil risiko yang sangat besar tanpa Puan sedari.

Saya rasa isu saya balik tepat pada masanya itu tidak perlulah dipertikaikan. Saya kerja lebih masa pun gaji saya bukan naik dua kali ganda pun. Tetap jugak ikut seperti dalam jadual. Tidak perlulah Puan pertikaikan kenapa saya hilang selepas tamat waktu kerja. Saya jenis yang mementingkan keluarga, bukan mementingkan hal lain. Saya meletakkan kedudukan “KELUARGA” di tangga teratas sekali dari yang lain.

Tanpa keluarga, saya tidak akan menjadi seperti sekarang. Berkat doa dari keluarga saya lah saya berjaya. Tambahan pula sekarang saya mempunyai suami yang agak memandang serius pada waktu. Bukan suami tidak memahami kerjaya saya di bidang perakaunan ini. Akan tetapi masa bersama keluarga itu yang dititikberatkan. Kalau saya balik lewat, berapa lama masa yang saya ada untuk keluarga saya?

Siapa pula yang akan membuat kerja rumah? Pukul berapa saya akan tidur? Pukul berapa saya akan bangun? Siapa yang akan menyiapkan sarapan untuk suami saya? Semua kerja ini pembantu rumah Puan yang lakukan. Saya? Sayalah pembantu rumah di rumah saya sendiri. Harap mengerti akan perbezaan disini. Gaji saya takat cukup makan sahaja berbanding gaji Puan yang mampu bercuti di luar Negara setiap tahun selama seminggu.


Rezeki kita lain-lain kan Puan. Saya redha dengan rezeki saya. Puan pun patutnya redha la jugak, tambahan Puan pun telah selamat menunaikan Haji di Mekah. Saya doakan Puan berubah menjadi muslimah sejati. Sekian, dari orang bawahan buat Puan orang atasan.

No comments: